Bila berada di perantauan ini, hanya lagu raya yang dapat memberi rasa Syawal. Maka terkenang akan Syawal yang sudah 30 tahun disambut. Pertama, teringat biskut-biskut raya yang Nek Uda buat. Tahun-tahun sebelum dia perlu menjaga anak-anak aku, itu lah rutinnya pada bulan Ramadhan, hampir-hampir 10 jenis biskut raya dibuatnya; biskut koko kelapa, Mazola, biskut kurma, jem lapis kelapa, Arab, tat nenas, biskut buah campur, biskut kelapa, kuih bijan, kuih ros dan bahulu. Ramadhan terakhir, dia akan buat kek kukus, ada kalanya sampai 3 biji. Rendang ayam dan daging juga wajib dimasak. Masa masih bersekolah, ketika itu arwah nyang dan tok nyang masih hidup, kami adik-beradik menolong menyediakan dan membakar lemang bersama-sama tok alang, tok teh dan arwah tok andak. Semua dibuat pada hari yang sama, lemang, rendang, ketupat dan bahulu. Ketupat pula Nek Usu yang paling pandai menganyam. Setiap tahun belajar, tapi tak pernah pass ;).
Masa bunga api dan mercun belum diharamkan, itulah masa yang sangat menggembirakan...lebih-lebih lagi zaman riang-ria.2 minggu selepas puasa, ayah rajin juga belikan bunga api. Aku akan gantung bunga api tu pokok bunga kertas mama, dan nyalakan satu persatu. Pokok tu macam pokok krismas padaku. Acara penutup setiap malam ialah membakar bunga api yang mengeluarkan corak yang cantik. Kini, aku, abang dan adik-adik yang lain tak dapat beri keseronakan itu kepada anak-anak ku dan anak-anak buah kami. Sungguh 'kejam'.......
Memori berterawih tidak banyak. Biasanya aku akan ikut mama. Tapi aku ingat akan gelagat adik lelaki ku yang dua orang. Beza umur mereka hanya 3 tahun. Jadi dorang la hero di surau. Selepas makan moreh di surau, biasanya akan tapau pula untuk rumah. Adakalanya, bila ada orang bawa moreh burger, dorang akan letak 2 dipoket baju melayu dan satu di dalam songkok.
Persiapan Syawal yang menjadi kenangan ialah membeli baju dan kasut baru. Ada satu tahun tu, ketika umur 10 atau 11 tahun, aku ada 10 pasang baju baru. Mama, Nek Uda dan Nek Angah belikan. Koleksi baju akan lengkap dari seluar panjang, skirt hingga ke baju tidur. Lokasi membeli-belah kami ialah di Jalan Tunku Abdul Rahman. Ketika Sogo belum ada, Globe dan Mun Long lah yang menjadi perhatian. Ramainya la umat manusia di Jalan TAR bersesak-sesakan. Kalo sekarang disuruh pergi pun tak mahu la.
Mama pula akan mengemas rumah menjelang Syawal. Tukar langsir, tukar kusyen, tukar bunga, mop lantai, lap cermin tingkap. Mama akan basuh balang kuih raya, gelas-gelas untuk dihidang pada hari raya. Kami akan kemas bilik tidur masing-masing. Pasangkan alas tilam dan bantal yang baru. Tugas aku yang wajib ialah mengumpulkan kad-kad raya yang kami adik-beradik dapat untuk digantung. Apabila digabungkan semua memang banyak sangat. Bila umur makin meningkat, kad raya semakin susut. Setelah aku mula kerja, tahun tersebut memang tiada kad raya digantung sehinggalah hari ini.
Memori indah Syawal biasanya pada hari pertama. Dari kecil lagi, kami akan beraya di Kajang dulu baru balik Tanjung Malim. Aku tak ingat sama ada kami pernah beraya di Tanjung Malim dulu. Pagi raya, kami bersarapan dulu sebelum ke surau. Menu utama yang mama masak setiap pagi raya ialah nasi impit, kuah kacang dan masak lode. Rendang biasanya Nek Uda yang masak. Rindu rasanya kerana sudah 3 tahun berturut-turut tidak makan air tangan mama pada pagi raya. Selepas solat raya selesai, kumpulan akan dibahagi-bahagikan untuk 'naik ke rumah'. Amalan itu tak pernah lekang, walaupun ada satu tahun AJK surau bercakaran sehingga tiada aktiviti 'naik ke rumah'. Aku tolong mama siapkan balang-balang kuih raya, biasanya menu kuih raya akan sama sahaja dari rumah nek uda, nek usu dan rumah mama ;).
Kemudian kami akan bersiap-siap untuk balik ke Tanjung Malim untuk 2 malam. Di Tanjung Malim kemeriahannya boleh tahan juga. Bayangkan, ayah ada 10 orang adik-beradik. Jadi setiap tahun kami akan kira jumlah cucu-cucu nenek. Rumah papan nenek bagai nak roboh dengan keriuhan kami. Malam hari kami akan menonton tanyangan movie hari raya dari tv nenek yang tak berapa besar dengan sepupu yang hampir 20 orang. Setiap kali apabila hendak balik ke Kajang, pasti arwah nenek bekalkan kuih bahulu yang dia buat. Bahulu dia pun ada 'klas tersendiri'. Sejak nenek meninggalkan, kami tidak pernah beraya di rumah kampung itu. Kami akan beraya di rumah pak long, itu pun balik hari. Hari raya semakin berubah...
Selain menziarahi saudara-saudara, semasa umur antara 11-14 tahun antara Syawal yang terbaik. Aku dan rakan-rakan sekolah akan pergi open house ke rumah satu sama lain. Antaranya kawan-kawan di Taman Mesra – Azlin, Arthina dan Juneta serta kawan-kawan di Sungai Sekamat – Yanthy, Fariza, Eti. Mereka semua berada dalam lingkungan 2km dari rumah aku. Itulah masa untuk mengumpulkan duit raya. Setelah tingkatan 3, masing-masing telah membawa haluan sendiri.
Apabila aku sendiri sudah berkeluarga, segala memang nampak lain bila Syawal tiba. Syawal itu untuk anak-anak... Tahun ini, Syawal yang tiba amat berlainan sekali. Hana, tahun pertama Hana lahir, mama tak dapat beraya bersama sayang. Hana beraya dengan papa, kakak sufi, abang faris, pak ngah, mak ngah, kakak mira, kakak khalillah, pak teh, mak uda, nyang uda, nyang ngah, nyang usu, tok nyang usu, tok mok, nenek is dan tok wak imran J

SYAWAL DI TAHUN PERTAMA PERKAHWINAN
SYAWAL DI TAHUN KETIGA
SYAWAL DITAHUN KEEMPAT
SYAWAL DITAHUN KELIMA